Wednesday, August 20, 2008

Kisah dan Teladan

Kisah yang ingin kupaparkan di sini adalah kisah benar yang cukup menyayat hati. Ini adalah antara siri kisah kisah benar yang kubawakan dari kampong halamanku sendiri. Tujuan pendedahan cerita ini bukanlah untuk membuka pekung atau memalukan mana mana pihak. Bukan juga untuk tujuan agenda politik. Bukan. Serious bukan. Dan tidak perlulah aku sampai kena bermubahalah atau sumpah laknat semata-mata ingin membuktikan kebenaran ceritaku ini. Walaupon aku tiada di tempat kejadian, namun aku mempunyai alibi alibi yang boleh membuktikan kesahihan cerita ini. Bukan seorang, Bukan dua orang, Bukan tiga orang, Tapi satu kampong!!..Sesungguhnya kebenaran itu adalah sesuatu yang pahit dan sukar untuk diterima.?Namun ia adalah untuk memberi pengajaran dan teladan kepada kita semua.

Cerita ini dibawa dari mulut ke mulut umpama cerita rakyat dan merupakan cerita lisan yang tidak pernah dibukukan. Maka tidak perlulah mencari hingga ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk rujukan. Memang tidak ada.

Baiklah. Tanpa membuang lebih banyak masa dan tenaga utk menaip bait bait kisah sedih ini ku mulakan dari sekarang!!

Tersebut al-kisah di sebuah kampong yang diberi nama Kampung Majapahit yang terletak di sebuah daerah di Utara tanah air. Adapun nama kampong tersebut bukanlah diambil sempena nama Kerajaan Majapahit di Sumatera sana yang terkenal dengan kisah puteri jelita Radin Galoh Cendera Kirana. Tidak… Bukan… Sebenonye aku pon tak tau la macam mana kampong tersebut mendapat nama sedemikian rupa.Kita lupakan dulu kisah asal usul nama kampong ni. Mari kita lihat dan meneroka kehidupan masyarakat kampong ini.

Penduduk kampong ini rata ratanya berkerjaya sebagai pesawah atau penanam padi. Maka tidak hairanlah kalau di lihat dari jalan besar, kampong ini seakan akan sebuah pulau yang dikelilingi oleh sawah padi yang menghijau. Sayup mata memandang. Kiri kanan depan belakang sawah padi semata mata.

Di antara penduduk kampong tersebut, ada sebuah keluarga yang agak senang hidupnya. Kerana di samping mempunyai sawah untuk dikerjakan, mereka juga mempunyai sebuah kedai runcit yang diusahakan. Dengan adanya kedai runcit tersebut maka mudahlah orang kampong membeli barang keperluan harian seperti tepung gandum, tepung pulut, ,tepung beras,gula, garam,ikan, sayur sayuran mahupon cikedis serta cokelat (gula2) buat kudapan anak anak.

Orang kampong tidak perlulah keluar jauh ke pekan untuk membeli barang memandangkan kedai runcit sudah ada dan ini lebih memudahkan mereka. Namun, keadaan ini tidak berapa menyeronokkan memandangkan stock di kedai tersebut ada kalanya stock lama yang sudah expired. Dan agak menggeramkan apabila duit baki sentiasa tidak cukup dipulangkan dan alasan yang diberikan “hutang dulu no..nanti mai beli apa2 tolak balik lah”..ya.. agak pelik keadaannya. Selalunya penghutang adalah pembeli, tapi di sini, terbalik la pulak. Pekedai menjadi penghutang kepada pembeli. Namun orang kampong tidak kisah. Lagipon memang hari2 beli di situ. Maka, tidak apa. Sikap tidak apa ni memang tebal di kalangan penduduk kampong memandangkan semuanya bersaudara. Bukan orang jauh. Saudara sendiri juga. Bukan tidak jumpa pon. Nak pergi mana dah memang tinggal di situ. Begitulah sikap orang kampong. Sentiasa bertoleransi dan bertolak ansur.

Pekedai tersebut mempunyai ibu bapa yang merantau di KL dan mencari rezeki dengan menjual kuih muih. Sekali sekala mereka akan ‘balik kampung’ menjenguk anak2. Di antara anak-anaknya, pekedai ini merupakan anak yang paling mereka sayang. Maka setiap kali pulang ke kampong, rumah pekedai inilah yang mereka tuju dulu untuk melepaskan rasa rindu dendam. Cukuplah dinamakan pekedai ini sebagai A.

A terkenal dengan sifat tangkai jeringnya. Apabila beliau ingin keluar ke mana2 beliau akan mengunci kedainya agar anak2nya tidak dpt masuk untuk mengambil makanan ringan. Beliau beranggapan ini akan mengurangkan keuntungan apabila anak sendiri mengambil tanpa membayar.

Tidak hairanlah pokok jambu dan mangga yang tumbuh meranum di depan rumahnya pon dia boleh buat untung seratus peratus . Ini kerana apabila anak2 jiran datang utk mengait buah tersebut, dia akan menjual dengan harga sebiji 30 sen. Sifatnya sungguh berlainan dengan penduduk kampong yang lain yang tidak kisah sekiranya ada anak2 kecil ingin mengambil buah di pokok mereka. Ambillah. Makanlah. Kerana buahnya banyak dan tidak luak puan kalau budak2 makan sebiji atau dua biji pon. Kita sendiri bila sudah ada pokok rambutan, durian , manggis di tepi rumah, selera makan buah biasa saja. Tapi pada A, ia tidak begitu. Setiap benda perlu dibayar.

A juga terkenal dengan sifat yang sungguh berjimat cermat. Betullah apabila terlampau berjimat, maka kita akan menjadi sedikit bakhil. Hatta, anaknya sendiri yang berjaya masuk universiti pon dia tidak mahu mengeluarkan sesenpon wang untuk membiayai pengajian si anak. Katanya, anak yang perlu memberinya wang, bukan dia yang perlu keluarkan wang untuk anak2. Maka anak tersebut tidak jadi ke universiti dan terus mencari kerja untuk menampung kehidupan seharian.

Seperti kebanyakan orang kampong yang lain, setiap kali padi dituai mereka akan mengadakan kenduri kesyukuran atas limpahan rezeki dari Yang Maha Kuasa. Begitu juga dengan A. Namun majlis kenduri yang dianjurkan oleh A seringkali menimbulkan suasana yang kurang menyenangkan.

Apabila kenduri musim durian, maka durian yang disajikan isinya kurang elok, sudah masam, ada yang berulat dan tidak sanggup kita nak masukkan dalam mulut pon. Apabila kenduri masak gulai ikan talang, maka ikan talangnya tidak dpt dimakan disebabkan kualiti yang agak teruk dan hanya layak utk di makan oleh ayam2.Ini kerana beliau membeli durian yang murah tapi isi yang sudah tidak elok, Ikan talang beliau membeli dari pekedai cina yang memang dah nak buang ikan tersebut. Di sebabkan boleh dapat seecara percuma maka beliau sanggup mengambil dan menjamu masyarakat kampong dengan keadaan ikan yang sedemikian rupa.

Apabila diadakan kenduri kahwin anaknya, lauk tidak pernah cukup kerana dia memang beli dalam kuantiti yang sedikit. Untuk menghilangkan rasa malu orang kampong kepada orang luar yang hadir, mereka mengutip wang untuk menambah daging lembu supaya semua yang hadir dapat menikmati hidangan. Pendek kata setiap kali majlis yang diadakan oleh beliau, ada saja perkara yang tidak kena berlaku. Sentiasa kecoh.

Berbalik kepada ibu bapa A. Setelah sekian lama merantau di tempat orang, maka mereka kembali ke kampong halaman untuk meneruskan sisa sisa kehidupan. Sementelah pula si ibu yang sering sakit2 dan sudah tidak larat untuk berjalan.Tempat yang mereka tuju tidak lain dan tidak bukan ialah ke rumah A. Mengharapkan kasih sayang anak untuk menjaga mereka di kala keduanya sudah tidak ada daya untuk berbuat apa apa. Di waktu itu A makin maju dengan mempunyai perniagaan membuat pelbagai jenis kerepek.

Namun kepulangan ibu bapa A ke rumahnya tidak menyeronokkan A dan isterinya. Isterinya seringkali merungut mengatakan ibu A seringkali menggangu dia membuat kerepek apabila si ibu meminta utk di papah ke bilik air dan sebagainya. Perkara ini juga tidak menyenangkan A apabila merasakan ibu bapanya hanya menyusahkan hidupnya. A lupa sewaktu beliau mengalami masalah kewangan, ibu bapanya lah yang menghulurkan bantuan kewangan .Duit hasil jualan kuih oleh ibu bapanya banyak diberikan kepada A yang sering meminta wang. Ini menimbulkan rasa kurang senag di hati anak2 yang lain namun kerana sayangnya ibu bapa A kepadanya, mereka tetap memberikan bantuan wang apabila diminta.

Keadaan kesihatan ibu A makin meruncing. Makan bersuap.Bangun ber angkat.Jalan berpapah.A tidak gembira dengan keadaan ini. A sanggup mengenakan charge bagi setiap makan pagi, tengah hari dan petang ke atas kedua ibubapanya. Sesuatu yang tidak terfikir oleh orang yang berakal waras. Tapi A sanggup. Beliau dan isteri sanggup tidak memasakan makanan sekiranya hari itu ada kenduri di kampong .Mereka sanggup membawa balik lauk kenduri untuk dijamu kepada ibubapanya memandangkan ianya percuma. A tak sanggup mengeluarkan wang hatta kepada ibu bapanya sendiri. Menyedihkan bukan.

Kemuncak kisah ini apabila A mengambil keputusan untuk menghantar kedua ibubapanya pulang ke rumah lama ibubapanya sebelum mereka merantau. Rumah tersebut memang sudah uzur dan hanya didiami oleh abang A yang tidak berapa sihat akalnya. Si ibu meronta2 tidak mahu dibawa pulang manakala si bapa terdiam tidak dapat berkata apa2. Terlalu sedih dengan layanan sang anak kepada mereka. Orang orang kampong mula datang seorang demi seorang apabila mendengar raungan sang ibu yang meronta2 tidak ingin dihantar pulang. Di kampong yang penempatannya berselerak, jarak dari rumah ke rumah sangatlah dekat. Hatta kalau bersin pon boleh didengar di beberapa buah rumah lain. Menandakan betapa dekatnya kawasan kejiranan di sini. Maka raungan sang ibu sudah pasti didengar dengan jelas oleh jiran jiran.

Suasana waktu itu sungguh mengharukan. Sungguh menyedihkan. Jiran jiran yang datang turut menangis merayu pada A agar membiarkan si ibu dan bapa tinggal saja di situ. Si ibu tidak lepas pegangan tangannya pada kaki A. Seolah2 seperti seorang anak yang memohon belas ihsan dari seorang ayah. Ahh..tidak tergambar oleh perkataan akan keadaan dan suasana waktu itu. Namun A tetap berkeras untuk menghantar pulang. Orang kampong sudah habis daya untuk menghalang A. Akhirnya si ibu dan bapa yang uzur itu dibawa pulang dalam keadaan yang sungguh mengharukan sesiapa saja yang berada di tempat kejadian. Sungguh tergamak A berbuat begitu kepada ibu bapanya yang membela beliau sedari kecil hingga besar. Sungguh tergamak dia.

Diberitakan selepas beberapa bulan kembali kerumah lamanya yang uzur itu, si ibu pulang mengadap Illahi setelah menempuh pelbagai kesengsaraan hasil layanan anak sendiri yang tidak mengenang budi itu.

Kisah ini diceritakan kepada aku oleh kakak dan ibuku. Sambil bercerita mereka tidak henti2 mengesat air mata kerana sangat tersentuh dengan kejadian yang tidak pernah di sangka itu.

Semoga kita mengambil iktibar dan teladan atas kisah ini dan jagalah ibu bapa sebaik mungkin sewaktu mereka masih hidup kerana pengorbanan mereka tidak terbalas oleh kita. Wallahua’lam.

3 comments:

aku yang dah mati said...

kalau nak ikutkan banyak bende yang boleh buatkan kita tergolong atau dah dekat-dekat dgn tanggang

a.n.i.Q.u.e said...

Terharu sungguh membacanya...

terima kasih kerana menginsafkan.

tapi, tergantung sikit kat last tu... ingat ada lagi sambungan si A tu sekarang kot dah keras jadi batu atau apa2 balasan yanng diterima sepadannya.

masih ada kah lagi A kat kampung tu?

Anonymous said...

Cik Pretty,

A memang ada lagi kat kampung..dia masih hidup lagi. Isterinya sudah meninggal akibat breast cancer. Beliau sudah berkahwin lain 3 bulan selepas kematian si siteri.Mempunyai anak2 tiri seramai 3 orang yang masih bersekolah rendah dan baru menyambut anak pertama hasil perkahwinan kedua di usia beliau yang hampir mencecah akhir 50-an. Anak2 membantah pada mulanya hasrat beliau utk berkahwin dengan ibu tunggal muda memandangkan usia beliau yang sudah tidak larat menjaga anak kecik. Untuk pengetahuan, beliau pergi meminang sendiri isterinya itu tanpa berbincang terlebih dahulu dengan anak2.Sekian adanya.

-blue-