Ahmad Lutfi Othman
Fri | Mar 07, 08 | 12:54:00 pm MYT
Dua tiga hari lalu, di akhir kempen, Pengerusi BN, Abdullah Ahmad Badawi mula membua mulur melemparkan kritikan keras terhadap Anwar Ibrahim dan juga kerajaan Kelantan pimpinan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, sambil mengungkit "kegagalan" kerajaan PAS Terengganu 1999-2004. Lawatannya ke Pantai Timur, berselang seli dengan Najib Razak, dikerapkan, melebihi jadual asal, tanda kekhuatiran misi mereka untuk melumpuhkan kubu PAS hanya tinggal angan-angan.
Biarpun jentera BN cuba meremehkan faktor Anwar - tokoh yang secara drastik berjaya merubah senario politik pada 1999 - namun kegusaran bahawa parti-parti alternatif bakal mencipta kejutan tidak dapat disembunyikan lagi. Media di bawah kawalan mutlak Abdullah menyiarkan iklan sebelah pihak, seolah-olah yang bertanding hanya BN.
Jika orang luar hanya membaca akhbar harian utama, (terutama Utusan Malaysia, Berita Harian) dan menonton suara berita tv Media Prima dan RTM, mungkin mereka menyangka di Malaysia tiada parti pembangkang yang beradu sama (tapi, apa perlunya BN giat berkempen selang 5 minit di tv?).
Pelik saya memikirkan, apa petunjuk era Abdullah yang diuar-uarkan selama ini sebagai menjamin keterbukaan dan berbeda dengan zaman Dr Mahathir Mohamad dahulu ? Apa bukti Abdullah lebih berlapang dada dengan kritikan sedangkan ruang untuk pembangkang bersuara terus ditutup?
Usah dihitung gema melalui internet atau pentas ceramah. Periksa stesen tv atau akhbar; apakah anda bisa menonton, menatap penjelasan parti-parti alternatif biarpun ruangnya hanya 10 peratus berbanding Umno-BN? Jangan mimpi. Walhal Umno-BN ternyata gagah menguasai majoriti lebih 4/5 di Parlimen dan hanya bersaing di beberapa negeri tertentu sahaja. Rashid Abd Rahman itu pun sering mendakwa BN tidak pernah perlukan bantuan SPR untuk terus menang dan menang.
Bayangkan, itulah yang kami hadapi di Harakah. Sebenarnya kami hanya sempat menerbitkan satu keluaran selepas Parlimen dibubarkan. Selain fanatik dengan angka 13, Abdullah mungkin melihat deadline Harakah sebagai faktor untuk beliau memutuskan bila tarikh paling sesuai mengisytihar pilihan raya ke-12. PM mengumumkannya pada hari Rabu, sehari selepas kami menyiapkan Harakah, dan ini bermakna kami terpaksa menunggu dua minggu lagi untuk menerbitkan Harakah berikutnya.
Justeru, terpaksa kami "tarik ke depan" edisi Harakah 1355 yang sepatutnya terbit selepas keputusan pilihan raya diumumkan. Nasib baik kami diberi peruntukan khas untuk menerbitkan siri akhbar Kempen mengisi kekosongan yang panjang itu. Memang sambutannya baik, dicetak hampir setengah juta setiap siri, namun ia hasil inisiatif PAS peringkat akar umbi yang terpaksa menanggung kos, selain penajaan mereka yang prihatin. Tabloid Kempen sempat diterbitkan lima siri, lapan muka warna tiap siri kecuali siri kelima ditambah menjadi 16 halaman, dan diedar secara percuma,
Memang ibarat langit dan bumi, tak terjangkau tangan untuk berlawan media propaganda Umno. Itu belum dikira salahguna dana dan kemudahan awam. Saya dimaklumkan duit berlori-lori diangkut untuk membeli undi. Ya, semuanya dipunggah dari khazanah negara, melalui pelbagai cara, yang sering saya tegaskan sebagai "halal" dari perspektif BPR.
Pembangkang mungkin boleh mendirikan kerajaan negeri, seperti di Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu, serta tidak mustahil Kedah dan Perlis. Namun, peritnya terlalu menghiris. Seperti kata Ustaz Abdul Hadi Awang, kalau Malaysia umpama negara demokratik lain, jika ditimpa masalah seperti kita, sudah pasti parti pemerintah bertukar dalam pilihan raya ini.
Ringkas kata, jutaan terima kasih buat semua pihak yang membantu penerbitan siri Kempen, akhbar Harakah (semasa kempen kami tambah 16 halaman untuk dua kali penerbitan dengan mengekalkan harga yang sama), juga mengisi laman Harakahdaily, yang menerima pengunjung yang cukup hebat apabila ranking antarabangsa menurut alexa.com, pada 3 Mac lalu berada pada kedudukan 7,602, manakala bagi senarai laman web di Malaysia, ia berada di tangga ke-49, satu pencapaian yang kami tidak sendiri tidak menjangkanya.
Dalam pada itu, berdepan dengan segala tipu muslihat SPR yang nyata dikawal mutlak Umno-BN, saya tertarik dengan gesaan agar satu perhimpunan raksasa membantah badan yang hilang wibawa dan tulang belakang itu boleh diatur sebaik pilihan raya selesai.
Malu kita diperbodohkan sebegitu rupa, dengan seribu satu muslihat, seolah-olah kita tidak punya akal dan harga diri. Benar sekali bidalan Tok Guru, apa nak buat, kita sedang berlawan dengan orang utan ...
II. Hinanya menjadi wartawan semasa kempen pilihan raya
Selepas Parlimen dibubarkan, secara automatik media utama seperti akhbar harian dan siaran tv bertukar menjadi bilik operasi dakyah BN. Kalau calon parti-parti alternatif mahu gambar dan berita mereka disiarkan, mudah sahaja, cetuskan provokasi yang dianggap negatif, maka popularlah mereka. Media BN hanya siarkan bahan pembangkang yang kemudiannya boleh digunakan untuk menikam balik.
Meskipun Umno-BN selama ini menang besar, malah tidak pernah digugat majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi melihatkan perang kempen melalui media, juga bill board, seolah-olah tergambar kedudukan mereka bagaikan telur di hujung tanduk. Segalanya diperalat, segalanya diperkakas. Mungkin ini petanda bahawa kemenangan Umno-BN selama ini tercipta atas kepalsuan.
Pemimpin BN cukup takut jika rakyat semakin matang berpolitik apabila didedahkan dengan pelbagai sumber maklumat, dan ekoran itu pengundi tidak gentar lagi dengan ugutan atau susah termakan umpan dan janji-janji manis. Pelbagai penipuan diatur, konspirasi dicatur, sekatan-tekanan dikenakan, sogokan ditawar, namun pengundi yang cerdik politik tidak mudah gabra.
Soalnya berapa ramai pengundi yang teranjak ke wilayah itu? Saya masih bimbang kebanyakan pemilih masih dikongkong minda dan membuat keputusan separa-masak.
Kasihan melihat nasib pengamal media yang sentiasa melutut di bawah ehsan pemerintah. Mereka pastinya fasih dengan etika kewartawanan, namun sebaik kempen bermula, lagak sebahagian mereka bagaikan orang gila (tak pasti sama ada lebih rendah martabat daripada orang utan), seolah-olah akhbar atau siaran tv yang mereka terajui itu adalah lidah rasmi Umno-BN.
Cubalah anda sendiri buat perincian tentang kandungan akhbar dan juga siaran tv, tiada langsung bahan yang boleh membantu pengundi membuat keputusan; ia sekadar propaganda murahan, picisan.
Pelik, ya, misalnya PAS yang sebelum ini hanya ada 6 kerusi berbanding 219 kerusi Parlimen (cuba kira berapa peratus ... tak sampai 3% pun), sudahlah beritanya digelapkan sama sekali, hanya sesekali timbul bila Presiden atau Mursyidul Am PAS membuat kenyataan yang boleh disalah tanggap.
Berjam-jam wartawan menunggu ucapan Tok Guru Nik Aziz, tiada satu berita boleh ditulis, tetapi sebaik lafaz "Umno bodoh..." kedengaran, maka rakaman itu baru dapat disiarkan!
Tepatlah satu kajian tentang kandungan berita dalam akhbar-akhbar perdana bahasa Melayu dan Tamil semasa kempen yang mendapati hanya 10 peratus ruang diisi dengan bahan pembangkang, dan 90 peratus daripada keseluruhan 10 peratus itu semuanya berita-berita negatif. Pengundi Tionghua agak lebih bernasib baik kerana akhbar Cina cuba menampilkan imej lebih bebas dan saksama walaupun ia juga di bawah kawalan MCA.
Kegusaran pemimpin Umno-BN boleh dilihat daripada rentak dan gaya kempen mereka. Tidak dapat dibayangkan berapa banyak wang BN (daripada projek kerajaan) yang hangus hanya untuk iklan kempen melalui akhbar, radio, tv dan juga internet apabila kajian menunjukkan, untuk tiga hari pertama, melalui akhbar sahaja, lebih RM1 juta sudah dibelanjakan. Saya pasti ratusan juta akan dihanguskan untuk propaganda berkenaan,
Umno-BN memang berbelanja cukup besar untuk pilihan raya. Semakin risau mereka, maka kian banyaklah wang ditabur. Di peringkat awal, sebaik penamaan calon yang menyaksikan ramai penyandang dan pemegang jawatan penting Umno bahagian tidak disenaraikan, hanya tawaran wang dapat menyejukkan suasana. Sumbernya tentulah daripada kantung kerajaan melalui pelbagai bentuk rasuah, yang sebahagiannya sudah "dihalalkan" oleh undang-undang.
Justeru, pemimpinnya terus sombong-takbur kerana percaya mereka boleh terus membeli sokongan. Rakyat akan lupa segala kepincangan, salahguna kuasa, rasuah dan amalan kronisme apabila mendapat "sisa-sisa kuah yang sudah basi".
Pengundi 2008 punya kesempatan terbaik untuk menyampaikan mesej jelas lagi terang bahawa mereka tidak bersedia lagi memberi mandat besar buat sesebuah parti yang kemudiannya membentuk kerajaan tanpa mempedulikan kebajikan dan kepentingan rakyat.
Pilihan raya ini mesti menjadi titik-tolak pembentukan budaya politik baru Malaysia. Pengundi lebih terbuka untuk menerima maklumat walaupun disedari masih ramai terperosok dalam "penjuru gelap". Jumlah yang cerdik politik itu diharap lebih ramai berbanding dahulu, dan selepas itu makin membesar agar kematangan berpolitik lebih merata. Saya yakin, masyarakat kita sedang berubah walaupun pengamal media terus setia menjadi abdi Umno-BN.
Pengamal media jenis ini akan tertinggal jauh, jualan akhbar mereka makin merosot, konflik dalaman wartawan terutama di kalangan generasi baru kian parah, dan percayalah integriti media terus luluh sehingga tiada lagi anak-anak muda yang cerdas mindanya sedia diperhamba menjadi pemberita.
Friday, March 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment