Tuesday, March 18, 2008

Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Semenjak dua menjak ni, DEB diperbincangkan dengan begitu meluas di kalangan rakyat jelata. Tidak lain dan tidak bukan disebabkan pendekatan DAP yang kononnya ingin memansuhkan DEB di dalam pemerintahan mereka di Penang. Mungkin ramai terutama golongan anak muda yang tidak tahu apa itu DEB dan apa kandungan yang terdapat dalam DEB.Mari kita baca apa itu DEB yang sekarang ni menjadi antara issue paling sensitive terutama pada masyarakat Melayu.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato' Hussein.

Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk:

• mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan

• mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Dasar ini telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991.


Bagi memastikan matlamat untuk menghapuskan kemiskinan tercapai, strategi ditumpukan untuk menghapuskan kemiskinan di kawasan luar bandar dan kawasan bandar. Berdasarkan banci penduduk 1970, didapati bahawa kira-kira 49.3% daripada semua keluarga miskin di Malaysia berpendapatan di bawah garis kemiskinan (pendapatan garis kemiskinan tahun 1970 ialah RM200) dan kira-kira 86% daripada jumlah itu berada di kawasan luar bandar.

Bagi mencapai matlamat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan awam melalui kemudahan pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik. Di samping itu, keutamaan juga diberikan kepada golongan miskin untuk mendapatkan bantuan seperti program bantuan subsidi baja, biasiswa pelajaran dan buku teks, makanan tambahan kepada kanak-kanak serta program rumah murah. Menjelang tarikh akhir pelaksanaan DEB, matlamat untuk membasmi kemiskinan telah tercapai. Laporan Rancangan Malaysia Keenam telah menunjukkan bahawa kadar kemiskinan negara pada tahun 1990 ialah 17.1% berbanding 49.3% pada tahun 1970.

Bagi memastikan matlamat yang kedua dalam DEB turut tercapai, kerajaan telah cuba memperbaiki keadaan ekonomi dan pada masa yang sama, menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Berasaskan pada ketidakseimbangan antara kaum, kerajaan telah melancarkan beberapa program seperti perindustrian dan perdagangan, pertanian, perlombongan, pembinaan, pengangkutan dan pertanian. Bagi menjayakan matlamat yang kedua dalam DEB ini juga, beberapa strategi telah dirancang, antaranya:

• Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga supaya penyertaan pelbagai kaum dalam sektor utama akan mencerminkan kedudukan tenaga buruh mengikut komposisi kaum menjelang tahun 1990;

• Mempastikan pembentukan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya mereka dapat menguruskan dan memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada semua jenis peringkat kegiatan ekonomi.

• Menambah dengan cepat bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan sektor produktif. Perhatian khusus akan ditumpukan kepada kaum Bumiputera yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain;

• Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin di luar bandar.


Setelah tempoh Dasar Ekonomi Baru tamat, kerajaan telah menubuhkan Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan usaha atau kesinambungan kepada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru.

No comments: