Credit to : Raja Petra, Mtoday.
Posted by Raja Petra
Friday, 07 March 2008
Seandainya tiada agenda silap mata, tiada pemalsuan, tiada penipuan, rakyat bakal membuat perhitungan wajar menolak segala kerosakkan serta salah urus tadbir dan salah laku pimpinan Abdullah Ahmad Badawi.
KAMAL AMIR MENULIS
SEANDAINYA kehadiran pengundi dan pendengar di beberapa siri ceramah kempen pilihanraya di seluruh negara mahu dijadikan ukuran, bertitik mula dari Perlis membawa ke Sabah dan Sarawak, ternyata Abdullah Ahmad Badawi dan para juaknya harus bersiap sedia untuk meninggalkan Seri Perdana.
Angin perubahan membawa gelombang suara rakyat sudah teramat sukar untuk dinafikan. Di Pontian kelmarin seorang pengirim sms memberitahu “ belum pernah berlaku sebegini hebatnya begitu ramai rakyat mendengar ceramah politik. Kehadiran mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membawa satu fenomina baru dalam menggerakkan gelombang suara keramat rakyat untuk tidak lagi terbelengu oleh kecelaruan politik bacul Abdullah Ahmad Badawi berserta konco-konconya. Lebih 30,000 hadirin membanjiri padang ceramah disini dengan deretan kereta sepanjang tiga kilometer”.
Di Perlis beberapa orang teman menghantar mesej cukup jelas apabila kempen dari calon-calon BN meskipun dijamu makanan cukup istemewa namun ia hanya dihadiri sekitar seratus atau dua ratus orang sahaja. Malahan isteri menteripun terpaksa menjelajah dari rumah kerumah menagih undi yang ternyata tidak lagi mampu diberikan oleh rakyat.
Sebaliknya biarpun ceramah Barisan Alternatif hanya dijalankan oleh kalangan pimpinan peringkat rendah, namun kehadirannya cukup memukau. Jika Abdullah gemar bercakap soal angka berbillion-billion dalam setiap ucapannya namun kehadiran pendengar ceramah dihimpunan BN boleh dibilang dengan jari. Sebaliknya pentas politik BA mengundang ribuan pendengar.
Sewaktu dihubungi, saudara Mahfuz Omar calon BA kerusi Parlimen Pokok Sena Kedah menyatakan, tidak pernah terfikir olehnya sejak meladani kancah politik di mana ceramahnya boleh dihadiri berduyun-duyun kalangan pengundi keturunan bukan Melayu (China dan India).
“Malam tadi ribuan pendengar dan pengundi keturnan masyarakat China telah berdiri dibarisan hadapan. Tidak pernah sebelum ini terjadi sebegitu. Bagi saya inilah gelombang kebangkitan rakyat. Mereka tidak lagi segan atau takut menyatakan sokongan secara terbuka kepada Barisan Alternatif. Rakyat sudah bersedia menerima angin perubahan ini. Kebangkitan gelombang rakyat tidak boleh dinafikan. “ ujarnya dalam nada sedikit ceria.
“Harapan dan impian rakyat diseluruh pelusuk negara akan saya bawa ke dewan Parlimen agar kehidupan mereka sentiasa dijadikan agenda utama oleh setiap pemimpin. Kebobrokkan, kerakusan korupsi pemimpin, salah urus tadbir Abdullah Ahmad Badawi bersama orang kelilingnya sudah sampai ketahap perlu segera dinoktahkan demi masa depan negara. “ tambah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS itu lagi.
Peguam muda Zulkifli Nordin calon Barisan Alternatif Parlimen Kulim Bandar Bharu menyatakan sehingga saat ini para pengundi keturunan China dan India secara terbuka memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepadanya. Malahan masyarakat juga dikejutkan melihat pelbagai aksi anak muda India dan sebegitu ramai ketrunan China sedia memakai baju T berlambangkan parti Pas tanpa merasa canggung atau takut.
Lebih memeranjatkan apabila dalam berita TV1 dua hari lalu semasa menteri cendol Zainuddin Maidin cuba menghulurkan tangan untuk bersalam dengan seorang taukeh kedai di Sungai Petani telah ditolak begitu sahaja menandakan tiada lagi kemesraan antara rakyat dengan pemimpin serta hilang hormat mereka kesan kebejatan dan korupsi pimpinan era Abdullah Ahmad Badawi.
Calon Barisan Alternatif Johari memberitahu angin perubahan begitu ternyata sekali. “Satu ketika dahulu semasa saya berada dalam BN boleh dikatakan akan mudah bermesra dengan pengundi mencarei sokongan rakyat tetapi dalam pilihanraya kali ini keadaan bertukar menjadi sebaliknya.
“Jika tiada sebarang percaturan sulit serta penipuan, suara keramat rakyat pasti melanda menjadi gelombang kebangkitan untuk menghukum pemimpin yang rakus menyamun harta rakyat. Hari ini tanpa sebarang keraguan dan ketakutan, rakyat benar-benar memperlihatkan kuasa mereka. “ ujarnya sewaktu dihubungi waktu dinihari tadi.
Di Pulau Pinang pula menurut Keris Silau, Perdana Menteri kaki tidor dan pembohong tersohor abad ini pasti menerima aib sebegitu besar apabila kubu politiknya pecah digempur oleh suara kebangkitan rakyat.
“Saya bagaikan tidak percaya, di padang Sekolah Hanchuan di Pulau Pinang malam ini lebih 40,000 rakyat berkumpul sebagai sokongan terbuka kepada Barisan Alternatif. Setakat ini kedudukan BN di Pulau Mutiara berada dalam situasa cukup tenat. Hanya melalui penipuan sahaja ia mampu memperolehi kemenangan. Seandainya pilihanraya dijalankan secara telus tanpa sebarang agenda sulit Gerakan, MCA dan kerabat BN sekadar menghitung hari. Makhal Sakthi bersinar di sini.” Ujarnya.
Di Ipoh pula akhbar Oriental Daily melaporkan keadaan cukup tenat di sekitar Lembah Kinta buat Barisan Nasional. Beberapa ciri ceramah di Taiping, Ipoh dan beberapa pekan besar negeri Perak di hadiri puluhan ribu penyokong BA. Saudara Yahya Abdullah menyatakan kerusi DUN Pasir Panjang sudah pasti bukan lagi milik kuncu-kuncu Samy Vellu. “Rakyat sudah membuat perhitungan, Pasir Panjang pasti dikembalikan kepada yang hak. Beberapa majlis jamuan oleh calon BN atas nama jamuan makan bersama rakyat hanya dihadirI tidak lebih dari lima puluh orang sahaja.
“Dengan jamuan makan sebegitu mewah rakyat sudah sanggup menolak apakah masih ada harapan untuk legasi serba dangkal Abdullah Ahmad Badawi boleh diterima lagi? Terus terang saya katakan, tidak pernah terfikir rakyat boleh bangun menyatakan pendirian mereka dalam gelombang kebangkitan sebegitu melata. Biar diterjah hujan ribut, mereka tetap tidak berganjak mendengar pidato pencermah BA serta menolak pelawaan jamu jamuan BN.” Tegasnya.
Selangor pastinya mencerna situasi suram Khir Toyo apabila sebegitu ramai calon-calon pilihannya bakal ditolak oleh rakyat. Di Ulu Selangor, Gombak, Ampang, Kelang, Ulu Langat serta di sekitar Lembah Kelang, rata-rata rakyat lebih senang menghadiri ceramah BA. Tinjaun sejak tiga hari lalu memperlihatkan situasi cukup tenat. Kalaupun ada cakap-cakap kemenangan berpihak kepadanya namun kemungkinan besar sejarah pilihanraya 1969 akan berulang apabila kerajaan Selangor tidak dapat ditubuhkan.
Wilayah Persekutuan memperlihatkan harapan sebegitu tipis untuk BN mengulangi kejayaannya seperti dimusim 2004. Malam tadi sahaja kehadiran Anwar Ibrahim di Pantai Dalam meledakkan semangat serta gelombang kebangkitan rakyat untuk meninggalkan majlis Dato Seri Najib meskipun bersama-samanya diundang sebegitu ramai para artis seperti Erra Fazira.
Rakyat lebih rela untuk dilenjun serta dibasahi hujan sejak petang tadi sebagai tanda sokongan kepada Puteri Reformasi Nurulezah yang bertanding di kerusi Parlimen Lembah Pantai. Sejak bermula siri kempen bermula pada 25 Februari 2008 lalu hinggalah malam tadi rakyat tetap tidak berganjak setia diterjah hujan dan ribut petir sebagai tanda sokongan kepadanya.
Biarpun Sharizat mengundang Abdullah Ahmad Badawi, Dato Seri Najib serta beberapa orang menteri pusat hadir dikawasannya namun semua itu tidak dihiraukan oleh rakyat serta pengundi di kawasan tersebut. Mereka tetap setia kepada Nurulezah Anwar yang lebih memukau serta berjiwa rakyat. Jika pengundian dijalankan secara adil sudah pasti Puteri Reformasi Nurulezah Anwar bakal diangkat dan dijulang oleh rakyat Lembah Pantai untuk diberi laluan menuju ke Dewan Parlimen.
Di Seremban, Melaka dan Johor , keadaannya begitu juga, seperti di Sabah dan Sarawak. Meskipun akhbar arus Perdana termasuk media elektronik RTM dan TV 3 di gunakan sebagai upaya mengamit yakin rakyat namun terbukti propaganda murahan mereka ditolak oleh rakyat.
Di Trengganu ustaz Ibrahim Azmi menyatakan terbukti kali ini rakyat Trengganu begitu bijak menyembunyikan citarasa mereka hingga mengakibatkan pimpinan Idris Jusoh tergapai-gapai dalam teka teki tanpa jawapan. Rakyat keseluruhannya dilihat bagaikan sudah membuat ketetapan siapa harus diberikan mandat untuk menerajui kepimpinan di negeri “Penyu Menangis” itu. “Mereka sekadar menanti hari mengundi dan segala-galanya bakal terjawab sebaik pengiraan undi dilakukan. Harus diingat pasti ada kejutan besar berlaku di Trengganu. “ujar lagi.
Sewaktu di hubungi, Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar calon Parlimen Tumpat menyatakan, inilah pilihanraya benar-benar mencerminkan hasrat dan citarasa rakyat menolak kemungkaran politik dan kemusnahan peradaban abad ini yang sebegitu rakus dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi.
“Seandainya tiada agenda silap mata, tiada pemalsuan, tiada penipuan, rakyat bakal membuat perhitungan wajar menolak segala kerosakkan serta salah urus tadbir dan salah laku pimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Rakyat benar-benar bosan dengan budaya korupsi serta pimpinan tidak mesra rakyat.
“Yakinlah, angin perubahan, gelombang kebangkitan rakyat pasti terjelma juga. Kehidupan maha pedih kesan kenaikkan harga petrol, kos pendidikan, kenaikkan harga barang yang menjadikan rakyat sebegitu terhimpit dan tersepit membuatkan mereka tidak lagi merasa takut menyuarakan hasrat hati dan kehendak menolak kerajaan Abdullah Ahmad Badawi. “ tegas Datuk Kamaruddin Jaafar lagi.
Tinggal sehari lagi untuk kita sama-sama menyaksikan bahtera BN berada dilauatan cukup bergelora. Seharusnya Abdullah mempunyai moral untuk segera berundur sebagai jalan terbaik baginya seusai musim pilihanraya. Dari jumlah kehadiran disetiap perhimpunan kempen pilihanraya ternyata rakyat mahu agar Abdullah segera berundur dan mengembalikan semula kuasanya kepada rakyat. Sayonara Abdullah, cukup sampai disini untuk pemimpin pembohong tersohor yang memalukan nama baik Malaysia di persada politik dunia.
Jika benarlah diterjemahkan kehendak rakyat, pastinya Abdullah bakal memperolehi musim panjang untuk terus tidur dan lena apabila rakyat menolaknya dari anjung kuasa. Selamat mengundi. Pastikan anda bawa kad pengenalan. Bersama kita selamatkan bumi tercinta ini dari percaturan politik sempang peranang penuh kebobrokkan legasi Abdullah Ahmad Badawi dan Si Kitol @ Anak tanpa Bin........ Salam perjuangan
Friday, March 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment